Tuesday, October 25, 2011

sakit tekak akibat bertekak


sedang saya menunggu untuk masuk ke gelanggang futsal, kekecohan berlaku di kaunter. daripada apa yang saya dengar, ia berkaitan dengan salah faham dalam proses tempahan antara pihak pengurusan dengan sekumpulan pelanggan. kedua-dua pihak bertegas untuk tidak mengalah, masing-masing meninggi suara sehingga menarik perhatian sekeliling.

seorang pakcik daripada pihak pengurusan yang sedari tadi mengunci mulut mula bersuara. tutur katanya bernada sederhana, tidak keras. tindakannya berjaya menurunkan suhu perbalahan yang sudah melarat hingga menyentuh hukum agama yang pada saya digunakan secara salah. suara pakcik tersebut meleburkan perang mulut membuat saya terfikir, di manakah tahap kita dalam menguruskan perbezaan pendapat?

sebagai individu yang mengamalkan hidup bermasyarakat, kita tidak dapat lari daripada perbezaan pendapat. kata orang sedang lidah lagikan tergigit. namun perlu kita sedar bahawasanya terdapat disiplin-disiplin yang perlu kita patuhi dalam menegakkan pendapat masing-masing.

pertama, jika ingin dihormati, kita perlulah menghormati. rasa rendah diri akan membuatkan orang senang untuk menerima kata-kata kita. terkadang apa yang kita faham itu adalah silap lantaran kurangnya maklumat yang diterima. rasa rendah diri ini dapat mengelak rasa malu apabila kita tersalah dalam berhujah. berbanding jika meninggi diri ketika berbalah, sifat kejahilan itu jelas dilihat apabila tersilap. malahan, jika kita benar dalam hal tersebut, kita akan disanjung lantaran keselesaan yang dirasa pihak lawan sepanjang perbalahan.

kedua, pastikan kita betul-betul pakar dalam isu tersebut. jangan hanya kerana terdengar bisik-bisik orang, kita menganggap bahawa kitalah yang tahu semua perkara. jangan berbicara jika tidak banyak rujukan yang sahih dan boleh diterima semua pihak. lebih baik orang fikir kita bodoh daripada kita buka mulut dan buktikannya sendiri.

ketiga, jangan lari tajuk. kebanyakan situasi perselisihan ini diburukkan oleh perbincangan yang meleret. punca persilisihan tidak dapat diselesaikan lantaran banyaknya isu-isu lain disentuh. jika isu utama belum selesai, beri peringatan jikalau terdapat usaha pihak lawan untuk mengubah topik. dengan ini, masa dapat dijimatkan daripada berbincang perkara-perkara yang tidak berkaitan.

keempat, jangan terpengaruh dengan emosi. ketika ini, suara-suara syaitan amat kuat membisik ke telinga. jika kita mula terasa marah, berhenti seketika. fikirkan semula mengenai tajuk perbincangan. penyelesaian adalah objektif utama sesebuah perselisihan pendapat, bukan pergaduhan. kebanyakan perbezaan pendapat dalam masyarakat kita dicemari dengan emosi dan marah. ketahuilah, hanya binatang yang suka bergaduh berebutkan kawasannya.

kelima, berbaiklah dengan pihak lawan setelah selesai perbincangan. jika terbukti benar, tingkatkan kemesraan dan jangan membuat mereka terasa terhina. jika berada di pihak yang salah, terima kesilapan kita. buang sifat ego untuk ucapkan terima kasih atas ilmu yang diterima. perbincangan yang baik terhasil jika sifat inginkan ilmu diamalkan, bukan kerana maruah diri semata. persahabatan adalah sebaik-baik pengakhiran sebuah perselisihan.

"kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya"
-4:59

No comments:

Post a Comment